Hendaklah
kita ingati semula bahawa dua puluh sifat yang wajib bagi ALLAH Taala
yang disebut oleh al-Quran sebagai sifat dasar yang wajib diketahui.
ALLAH Taala Maha Sempurna. Maka atas kesempurnaan ini, sifat yang thabit
wajib bagiNya adalah tiada habisnya. Kerana jika habis, jadilah
terbatas. Dan apabila terbatas adalah lemah, maka mustahil dengan sifat
Ketuhanan.
Kemudian
hendaklah kita ketahui pula dua puluh sifat ini terbahagi ia kepada
empat kelompok berdasarkan hakikatnya. Empat kelompok itu iaitu sifat Nafsiah, sifat Salbiah, sifat Ma’ani dan sifat Ma’nawiyah.
Kelompok Sifat Yang Empat
Yang tergulung di dalam sifat Nafsiah ialah satu sifat sahaja iaitu sifat Wujud.
Yang tergulung dalam sifat Salbiah lima sifat iaitu Qidam, Baqa, Mukhalafatuhulilhawadith, Qiamuhu binafsih dan Wahdaniah.
Yang tergulung dalam sifat Ma’ani tujuh sifat iaitu Qudrah, Iradah, Ilmu, Hayah, Sama’, Basar dan Kalam.
Yang tergulung dalam sifat Ma’nawiyah tujuh sifat pula iaitu Kaunuhu Qadiran, Kaunuhu Muridan, Kaunuhu Aliman, Kaunuhu Hayyan, Kaunuhu Sami’an, Kaunuhu Basiran dan Kaunuhu Mutakalliman.
Hakikat kelompok sifat yang empat
Adapun
hakikat sifat Nafsiah iaitu hal yang wajib bagi Zat ALLAH Taala itu
selama wujud ZatNya itu tidak dikeranakan oleh sesuatu kerana atau
selama Ia wujud tidak disebabkan oleh suatu sebab. Dan bukanlah wujud
Zat itu kerana sesuatu sebab seperti hendak mengujudkan alam. Kerana
ujud Zat ALLAH Taala itu dengan sendirinya tanpa permulaan dan
pengakhiran.
Sabda Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam bermaksud “Dan adalah ALLAH itu Esa dan tiada menyertaiNya sesuatu yang lain”.
Adapun
hakikat sifat Salbiah iaitu sifat yang menafikan segala sifat yang
tiada patut bagi Zat ALLah Taala. Iaitu sifat Qidam menafikan ada
permulaan bagi Zat ALLah Taala, Baqa menafikan
Ada
pengakhiran bagi Zat ALLah Taala, Mukhalafatuhu lilhawadith menafikan
bersamaan ALLah Taala dengan sesuatu, Qiamuhu binafsih menafikan Zat
ALLah Taala memerlukan sesuatu dan Wahdaniah menafikan ALLah Taala itu
berbilang ujud.
Adapun
hakikat sifat Ma’ani sifat yang ujudiah iaitu sifat yang nyata pada
dzihin dan nyata pada kharij. Erti nyata pada dzihin itu ialah nyata
pada mata hati ujudnya sifat Ma’ani itu pada Zat ALLah Taala dan ertinya
nyata pada kharij itu ialah nyata bekasnya. Ertinya nyata bekasnya
ialah nyata kaitannya dengan alam yang baharu. Ertinya nyata kaitannya
pada alam yang baharu pula ialah Qudrah itu takluk menjadikan alam yang
baharu, Iradah itu takluk pada menentukan kejadian alam yang baharu,
Ilmu itu takluk ia pada yang ujud samada ZatNya sendiri dan alam yang
baharu, Hayah itu takluk pada pengesahan sifat yang enam, Sama’ takluk
kepada sesuatu yang wajib yang mustahil dan yang harus, dan Basar juga
takluk kepada segala yang wajib yang mustahil dan yang harus juga.
Inilah perbezaan sifat Ma’ani dengan sifat Salbiah.
Adapun
hakikat sifat Ma’nawiyah iaitu sifat yang melazimi kepada sifat Ma’ani.
Ertinya apabila ada Ma’ani maka adalah ma’nawiyah. Dengan bahasa mudah
zaman ini, sifat Ma’nawiyah adalah kesinambungan sifat Ma’ani.
Maka
apabila Zat ALLah Taala bersifat Qudrah yakni Berkuasa maka pastilah
Zat ALLah Taala Kaunuhu Qadiran yakni berkeadaan Zat yang Berkuasa,
apabila Zat ALLah Taala bersifat Iradah yakni Menentukan pastilah Zat
ALLah Taala itu Kaunuhu Qadiran yakni Keadaan Zat yang Menentukan,
apabila Zat ALLah Taala berIlmu yakni Mengetahui pastilah Kaunuhu Aliman
yakni keadaan Zat yang Mengetahui, apabila Zat ALLah Taala Hayah yakni
hidup pastilah Kaunuhu Hayyan yakni keadaan Zat yang Hidup, apabila Zat
ALLah Taala Sama’ yakni Mendengar pastilah Kaunuhu Sami’an yakni Zat
yang berkeadaan Mendengar, apabila Zat ALLah Taala bersifat Basar yakni
Melihat pastilah Kaunuhu Basiran yakni Zat yang bekeadaan Melihat dan
apabila Zat ALLah Taala itu bersifat Kalam yakni Berkata-kata maka
pastilah Ia Kaunuhu Mutakalliman yakni Zat yang Berkeadaan Berkata-kata.
Keadaan kelompok sifat yang empat
Seperti
yang telah dijalaskan dahulu pada awal-awal bab Tauhid ini, sifat
adalah Kelakuan Zat yang ujudnya bergantung kepada ujud Zat. Ertinya
sifat ini tidak akan ujud bersendirian dalam maksud tidak ada sifat yang
ujud secara sosok. Sosok adalah Zat dan sifat adalah perilaku sosok.
Dan bahasa yang paling sesuai kepada sosok ALLah Taala ialah Zat, kerana
apabila kita berkata sosok akan memberi waham kepada sosok manusia dan
ia tidak tepat.
Adapun
sifat Nafsiah iaitu ehwal. Sifat Nafsiah adalah sifat yang menunjukkan
ujudnya Zat. Apabila ujud Zat maka Nafsiahlah Ia yakni Zat itu halnya
ujud.
Adapun
sifat Salbiah iaitu ma’duman. Sifat Salbiah adalah sifat yang ujud pada
dzihin yang nyata pada mata hati akan ujudnya sebagai perilaku Zat
tetapi tiada bekas ia kepada takluk sesuatu. Ertinya tiadalah sifat
Salbiah itu takluk kepada yang lain seperti mencipta dan sebagainya.
Adapun
sifat Ma’ani itu maujudat. Sifat Ma’ani itu nyata bekas takluknya
kepada yang lain samada yang wajib, atau yang harus (alam baharu) atau
yang mustahil. Maka dengan nyata bekas takluknya makajadilah hukum sifat
ini sifat yang berdiri kepada Zat dengan nyata.
Adapun
sifat Ma’nawiyah itu I’tibariah. Sifat Ma’nawiyah adalah sifat yang
melazimi sifat Ma’ani. Ertinya apabila ada sifat Ma’ani maka adalah
sifat Ma’nawiyah. Sifat Ma’nawiyah ini hanya nyata apabila telah ada
bekas takluk sifat Ma’ani. Maka jadilah hukum sifat ini I’tibar bagi
sifat Ma’ani.
Ketahuilah
bahawa sangatlah sukar untuk memberikan kalimat-kalimat yang sesuai
bagi apa yang penulis perkatakan. Kerana pada kitab Tauhid zaman dahulu
ia menggunakan bahasa lama. Ehwal, Maujudat, Ma’duman dan Iktibariah
disebut dalam kitab Tauhid sebagai “bangsa” Zat dan Nafsiah, Salbiah,
Ma’ani dan Ma’nawiyah disebut sebagai hakikat.
Namun
apa yang penulis tuliskan hanyalah memberikan penjelasan menurut bahasa
moden yang sekira-kira boleh difahami umum. Lainlah jika menghadap di
depan tok guru seperti yang penulis alami.
Dan
penulis sangat lemah dalam memberikan kefahaman dengan bahasa seperti
itu. Dan tidak mustahil akan memberikan kefahaman yang berbeza, dan
akibatnya penulis akan menerima kecaman seperti dahulu dalam bab sifat
wajib, mustahil dan harus.
Namun
penulis berserah kepada ALLah Taala yang Dia sendiri bersifat dengan
segala sifat Kesempurnaan. Dan penulis memohon kemaafan jika
kalimat-kalimat penulis di atas menyukarkan kefahaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan