Posted on June 8, 2010 by salafytobat
Wajib bagi setiap mukallaf dan muslim mempercayai bahawa
terdapat beberapa sifat kesempurnaan yang tidak terhingga bagi Allah.
Maka, wajib juga dipercayai akan sifat Allah yang dua puluh dan perlu
diketahui juga sifat yang mustahil bagi Allah. Sifat yang mustahil bagi
Allah merupakan lawan kepada sifat wajib.
Sifat wajib pula terbahagi juga empat bahagian iaitu nafsiah, salbiah, ma’ani atau ma’nawiah.
Bab 5 : Mengenal Allah S.W.T.
1.
Mengenal Allah s.w.t adalah fardhu Ain atas tiap-tiap
mukallaf dengan mengetahui namaNya dan sifat-sifatNya
yang bertepatan dengan syarak yang berlandaskan ajaran
para Nabi dan Rasul.
2.
Nama-nama Allah s.w.t (Al-Asma ‘ul-Husna) dan
sifat-sifat yang Maha Besar dan Maha Tinggi. Nama Allah
s.w.t yang lebih masyhur di antara segala nama-namaNya
ialah Allah, disebut lafaz Al-Jalalah (Lafaz yang Maha
Besar) dan yang lain daripada ini diketahui melalui
Al-Quran dan Al-Hadith. Semuanya sentiasa menjadi sebutan umat
Islam contohnya Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Quddus, As-Salam,
Al-Mukmin.
3. Sifat-sifat yang diketahui oleh mukallaf terbahagi kepada dua bahagian :-
1) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan Ijmali (Ringkas)
iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan
iktiqad yang putus (jazam) bahawa wajib bagi Allah s.w.t
bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak
dengan keadaan ketuhanan dan mustahil atasNya
bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.
2)
Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan jalan
tafsili (satu persatu) iaitu bahawa beriktiqad dan
berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus
dengan dalil aqli (dengan akal) dan dalil naqli
(dengan Al-Quran dan Hadith) bahawa wajib dan beriktiqad
dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli dan naqli. Maka
mustahil atas Allah s.w.t bersifat dengan segala lawan
sifatyang wajib tersebut.
4. Mengenal Allah s.w.t wajib melalui tiga perkara :-
1)
Iktiqad yang putus (jazam) iaitu tiada syak, dzan
dan waham. Jika iktiqadnya ada salah satu daripada
tiga tadi maka tidak dinamakan mengenal Allah s.w.t.
2) Muafakat (bersetuju) iktiqad itu dengan yang sebenar (bertepatan
dengan iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah), maka tidak
dinamakan mengenal jika iktiqad tidak bertepatan
dengan yang sebenar (Ahli Sunnah Wal-Jamaah) seperti
iktiqad orang Nasrani dan Yahudi.
3) Dengan dalil sekalipun dengan dalil ijmali, jika iktiqadnya
putus (jazam) serta bertepatan dengan Ahli Sunnah
Wal-Jamaah tetapi jika tidak dengan dalil maka
dinamakan taqlid.
5.
Iktiqad yang tidak terputus atau tidak bertepatan
dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, maka para ulama membuat
persetujuan bahawa menghukum orang itu kafir. Dan bagi
iktiqad orang bertaqlid itu timbul perselisihan ulama
padanya. Mengikut qaul yang muktamad orang yang
bertaqlid itu tidak dihukumkan kafir jika taqlidnya
putus dengan dihukum mukmin yang menderhaka (jika ia belajar maka
tidak dihukumkan mukmin yang derhaka).
6.
Makna taqlid ialah menerima perkataan orang lain
dengan tidak mengetahui dalil dan keterangan.
7. Taqlid terbahagi kepada dua bahagian :-
1) Taqlid Jazam (putus)
- Iktiqad yang teguh dan tidak akan berubah walaupun orang yang
diikuti itu berubah. Maka taqlid ini di sisi Ahli Sunnah
Wal-Jamaah sah imannya kerana ada mempunyai iktiqad
yang jazam (putus).
2) Taqlid yang tidak Jazam (Tidak Putus)
- Menerima perkataan orang lain dengan tidak teguh sekiranya
orang yang diikuti seperti guru-gurunya, ibubapanya atau lainya.
Iktiqad mereka berubah-ubah mangikut orang yang
diikutinya. Maka taqlid ini dihukumkan tidak sah
imannya kerana serupa imannya dengan syak,zhan atau
waham(tiada putus).
8. Kesimpulannya iman orang yang bertaqlid sentiasa di dalam bahaya
atau bimbang dan tergantung kebenarannya atas orang yang
diikutinya. Jika benar perjalanan orang yang
diikutinya seperti guru-gurunya maka mengikutnya
selamat, tetapi jika sebaliknya binasalah mereka.
9.
Hendaklah seseorang itu bersungguh-sungguh menuntut
Ilmu Tauhid yang sahih supaya terlepas ia daripada syak
dan waham dalam iman kerana di akhir zaman ini
terdapat ramai ahli-ahli bida’ah.
10.
Taqlid itu membawa mudharat kerana jalan membawa
kepada sesat yang amat hina yang tiada layak pada
seseorang manusia.
Bab 6 : Sifat 20
Adalah
sifat-sifat yang wajib bagi Allah s.w.t. yang wajib
bagi Allah yang wajib diketahui dengan tafsil ( satu
persatu ) iaitu 20 sifat :
1. Wujud : Ertinya Ada |
Iaitu
tetap dan benar yang wajib bagi zat Allah Ta’ala
yang tiada disebabkan dengan sesuatu sebab. Maka
wujud ( Ada ) – disisi Imam Fakhru Razi dan Imam
Abu Mansur Al-Maturidi bukan ia a’in maujud dan
bukan lain daripada a’in maujud , maka atas qaul
ini adalah wujud itu Haliyyah ( yang menepati
antara ada dengan tiada) .
Tetapi pada pendapat Imam Abu Hassan Al-Ashaari
wujud itu ‘ain Al-maujud , kerana wujud itu zat
maujud kerana tidak disebutkan wujud melainkan
kepada zat. Kepercayaan bahawa wujudnya Allah
s.w.t. bukan sahaja di sisi agama Islam tetapi semua
kepercayaan di dalam dunia ini mengaku menyatakan Tuhan
itu ada.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
” Dan jika kamu tanya orang-orang kafir itu siapa yang
menjadikan langit dan bumi nescaya berkata mereka itu Allah
yang menjadikan……………”
( Surah Luqman : Ayat 25 )
|
2. Qidam : Ertinya Sedia |
Pada
hakikatnya menafikan ada permulaan wujud Allah
s.w.t kerana Allah s.w.t. menjadikan tiap-tiap
suatu yang ada, yang demikian tidak dapat tidak
keadaannya lebih dahulu daripada tiap-tiap
sesuatu itu. Jika sekiranya Allah Ta’ala tidak lebih dahulu
daripada tiap-tiap sesuatu, maka hukumnya adalah mustahil
dan batil. Maka apabila disebut Allah s.w.t.
bersifat Qidam maka jadilah ia qadim. Di dalam
Ilmu Tauhid ada satu perkataan yang sama maknanya
dengan Qadim iaitu Azali. Setengah ulama
menyatakan bahawa kedua-dua perkataan ini sama maknanya
iaitu sesuatu yang tiada permulaan baginya. Maka qadim itu
khas dan azali itu am. Dan bagi tiap-tiap qadim itu
azali tetapi tidak boleh sebaliknya, iaitu
tiap-tiap azali tidak boleh disebut qadim. Adalah
qadim dengan nisbah kepada nama terbahagi kepada
empat bahagian :
1 ) Qadim Sifati ( Tiada permulaan sifat Allah Ta’ala )
2 ) Qadim Zati ( Tiada permulaan zat Allah Ta’ala )
3 ) Qadim Idhafi ( Terdahulu sesuatu atas sesuatu seperti terdahulu bapa nisbah kepada anak )
4 ) Qadim Zamani ( Lalu masa atas sesuatu sekurang-kurangnya satu tahun )
Maka Qadim Haqiqi ( Qadim Sifati dan Qadim Zati )
tidak harus dikatakan lain daripada Allah
Ta’ala.
|
3. Baqa’ : Ertinya Kekal |
Sentiasa
ada, kekal ada dan tiada akhirnya Allah s.w.t .
Pada hakikatnya ialah menafikan ada kesudahan
bagi wujud Allah Ta’ala. Adapun yang lain
daripada Allah Ta’ala , ada yang kekal dan tidak
binasa Selama-lamanya tetapi bukan dinamakan kekal yang
hakiki ( yang sebenar ) Bahkan kekal yang aradhi ( yang
mendatang jua seperti Arasy, Luh Mahfuz, Qalam, Kursi,
Roh, Syurga, Neraka, jisim atau jasad para Nabi
dan Rasul ).
Perkara
–perkara tersebut kekal secara mendatang tatkala
ia bertakluq dengan Sifat dan Qudrat dan Iradat
Allah Ta’ala pada mengekalkannya. Segala jisim
semuanya binasa melainkan ‘ajbu Az-zanabi (
tulang kecil seperti biji sawi letaknya di
tungking manusia, itulah benih anak Adam ketika bangkit
daripada kubur kelak ). Jasad semua nabi-nabi dan jasad
orang-orang syahid berjihad Fi Sabilillah yang mana ianya
adalah kekal aradhi jua. Disini nyatalah perkara
yang diiktibarkan permulaan dan kesudahan itu
terbahagi kepada tiga bahagian :
1) Tiada permulaan dan tiada kesudahan iaitu zat dan sifat Alllah s.w.t.
2) Ada permulaan tetapi tiada kesudahan iaitu seperti Arash , Luh Mahfuz , syurga dan lain-lain lagi.
3) Ada permulaan dan ada kesudahan iaitu segala makhluk
yang lain daripada perkara yang diatas tadi ( Kedua ).
|
4.
Mukhalafatuhu Ta’ala Lilhawadith. Ertinya :
Bersalahan Allah Ta’ala dengan segala yang baharu. |
Pada zat , sifat atau perbuatannya sama ada yang baru , yang telah
ada atau yang belum ada. Pada hakikat nya adalah menafikan
Allah Ta’ala menyerupai dengan yang baharu pada zatnya ,
sifatnya atau perbuatannya.
Sesungguhnya zat Allah Ta’ala bukannya berjirim dan bukan
aradh Dan tiada sesekali zatnya berdarah , berdaging ,
bertulang dan juga bukan jenis leburan ,
tumbuh-tumbuhan , tiada berpihak ,tiada ber-
tempat dan tiada dalam masa. Dan sesungguhnya sifat Allah
Ta’ala itu tiada bersamaan dengan sifat yang baharu kerana
sifat Allah Ta’ala itu qadim lagi azali dan
melengkapi ta’aluqnya. Sifat Sama’ ( Maha
Mendengar ) bagi Allah Ta’ala berta’aluq ia pada
segala maujudat tetapi bagi mendengar pada makhluk
hanya pada suara sahaja. Sesungguhnya di dalam Al-Quraan
dan Al-Hadith yang menyebut muka dan tangan Allah s.w.t.
, maka perkataan itu hendaklah kita iktiqadkan thabit (
tetap ) secara yang layak dengan Allah Ta’ala
Yang Maha Suci daripada berjisim dan Maha Suci
Allah Ta’ala bersifat
dengan segala sifat yang baharu.
|
5. Qiamuhu Ta’ala Binafsihi : Ertinya : Berdiri Allah Ta’ala dengan sendirinya . |
Tidak berkehendak kepada tempat berdiri ( pada zat ) dan tidak
berkehendak kepada yang menjadikannya
Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan Allah s.w.t. berkehendak
kepada tempat berdiri dan kepada yang menjadikannya.
Allah s.w.t itu terkaya dan tidak berhajat kepada sesuatu sama ada
pada perbuatannya atau hukumannya.
Allah s.w.t menjadikan tiap-tiap sesuatu dan mengadakan undang-
undang semuanya untuk faedah dan maslahah yang kembali kepada
sekalian makhluk .
Allah s.w.t menjadikan sesuatu ( segala makhluk ) adalah kerana
kelebihan dan belas kasihannya bukan berhajat kepada faedah.
Allah s.w.t. Maha Terkaya daripada mengambil apa-apa manafaat
di atas kataatan hamba-hambanya dan tidak sesekali menjadi
mudharat kepada Allah Ta’ala atas sebab kemaksiatan dan kemung-
karan hamba-hambanya.
Apa yang diperintahkan atau ditegah pada hamba-hambanya adalah
perkara yang kembali faedah dan manafaatnya kepada hamba-hamba-
nya jua.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
” Barangsiapa berbuat amal yang soleh ( baik ) maka pahalanya
itu pada dirinya jua dan barangsiapa berbuat jahat maka bala-
sannya ( seksaannya ) itu tertanggung ke atas dirinya jua “.
( Surah Fussilat : Ayat 46 )
Syeikh Suhaimi r.a.h berkata adalah segala yang maujudat itu dengan
nisbah berkehendak kepada tempat dan kepada yang menjadikannya ,
terbahagi kepada empat bahagian :
1) Terkaya daripada tempat berdiri dan daripada yang menjadi-
kannya iaitu zat Allah s.w.t.
2) Berkehendak kepada tempat berdiri dan kepada yang men-
jadikannya iaitu segala aradh ( segala sifat yang baharu ).
3) Terkaya daripada zat tempat berdiri tetapi berkehendak
kepada yang menjadikannya iaitu segala jirim. ( Segala zat yang baharu ) .
4) Terkaya daripada yang menjadikannya dan berdiri ia pada zat
iaitu sifat Allah Ta’ala.
|
6. Al – Wahdaniyyah.
Ertinya : Esa Allah Ta’ala pada zat , pada sifat dan pada perbuatan. |
Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan berbilang pada zat , pada
sifat dan pada perbuatan sama ada bilangan yang muttasil ( yang ber-
hubung ) atau bilangan yang munfasil ( yang bercerai ).
Makna Esa Allah s.w.t. pada zat itu iaitu menafikan Kam Muttasil pada
Zat ( menafikan bilangan yang berhubung dengan zat ) seperti tiada zat
Allah Ta’ala tersusun daripada darah , daging , tulang ,urat dan lain-lain.
Dan menafikan Kam Munfasil pada zat ( menafikan bilangan yang ber-
cerai pada zat Allah Ta’ala )seperti tiada zat yang lain menyamai zat
Allah Ta’ala.
Makna Esa Allah s.w.t pada sifat iaitu menafikan Kam muttasil pada
Sifat ( menafikan bilangan yang berhubung pada sifatnya ) iaitu tidak
sekali-kali bagi Allah Ta’ala pada satu-satu jenis sifatnya dua qudrat
dan menafikan Kam Munfasil pada sifat ( menafikan bilangan –
bilangan yang bercerai pada sifat ) iaitu tidak ada sifat yang lain
menyamai sebagaimana sifat Allah s.w.t. yang Maha Sempurna.
Makna Esa Allah s.w.t. pada perbuatan iaitu menafikan Kam
Muttasil pada perbuatan ( menafikan bilangan yang bercerai –cerai pada
perbuatan ) iaitu tidak ada perbuatan yang lain menyamai seperti
perbuatan Allah bahkan segala apa yang berlaku di dalam alam semua-
nya perbuatan Allah s.w.t sama ada perbuatan itu baik rupanya dan
hakikatnya seperti iman dan taat atau jahat rupanya tiada
pada hakikat-nya seperti kufur dan maksiat sama ada perbuatan
dirinya atau
perbuatan yang lainnya ,semuanya perbuatan Allah s.w.t dan tidak
sekali-kali hamba mempunyai perbuatan pada hakikatnya hanya pada
usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas.
Maka wajiblah bagi Allah Ta’ala bersifat Wahdaniyyah dan ternafi bagi
Kam yang lima itu iaitu :
1) Kam Muttasil pada zat.
2) Kam Munfasil pada zat.
3) Kam Muttasil pada sifat.
4) Kam Munfasil pada sifat.
5) Kam Munfasil pada perbuatan.
Maka tiada zat yang lain , sifat yang lain dan perbuatan yang lain
menyamai dengan zat , sifat dan perbuatan Allah s.w.t .
Dan tertolak segala kepercayaan-kepercayaan yang membawa kepada
menyengutukan Allah Ta’ala dan perkara-perkara yang menjejaskan
serta merosakkan iman.
|
7. Al – Qudrah :
Ertinya : Kuasa qudrah Allah s.w.t. memberi bekas pada mengadakan
meniadakan tiap-tiap sesuatu. |
Pada hakikatnya ialah satu sifat yang qadim lagi azali yang thabit
( tetap ) berdiri pada zat Allah s.w.t. yang mengadakan tiap-tiap yang
ada dan meniadakan tiap-tiap yang tiada bersetuju dengan iradah.
Adalah bagi manusia itu usaha dan ikhtiar tidak boleh memberi
bekas pada mengadakan atau meniadakan , hanya usaha dan
ikhtiar pada jalan menjayakan sesuatu .
Kepercayaan dan iktiqad manusia di dalam perkara ini berbagai-bagai
Fikiran dan fahaman seterusnya membawa berbagai-bagai kepercayaan dan iktiqad.
1) Iktiqad Qadariah :
Perkataan qadariah iaitu nisbah kepada qudrat . Maksudnya
orang yang beriktiqad akan segala perbuatan yang dilakukan
manusia itu sama ada baik atau jahat semuanya terbit
atau berpunca daripada usaha dan ikhtiar manusia
itu sendiri dan sedikitpun tiada bersangkut-paut
dengan kuasa Allah s.w.t.
2) Iktiqad Jabariah :
Perkataan Jabariah itu nisbah kepada Jabar ( Tergagah )
dan maksudnya orang yang beriktiqad manusia dan makhluk
bergantung kepada qadak dan qadar Allah semata-mata (
tiada usaha dan ikhtiar atau boleh memilih
samasekali ). 3) Iktiqad Ahli Sunnah Wal – Jamaah
:
Perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaahialah orang yang mengikut
perjalanan Nabi dan perjalanan orang-orang Islam iaitu
beriktiqad bahawa hamba itu tidak digagahi
semata-mata dan tidak memberi bekas segala
perbuatan yang disengajanya, tetapi ada perbuatan
yang di sengaja pada zahir itu yang dikatakan usaha dan
ikhtiar yang tiada memberi bekas sebenarnya sengaja hamba
itu daripada Allah Ta;ala jua. Maka pada segala makhluk
ada usaha dan ikhtiar pada zahir dan tergagah
pada batin dan ikhtiar serta usaha hamba adalah
tempat pergantungan taklif ( hukum ) ke atasnya
dengan suruhan dan tegahan
( ada pahala dan dosa ).
|
8. Al – Iradah :
Ertinya : Menghendaki Allah Ta’ala. |
Maksudnya menentukan segala mumkin tentang adanya atau
tiadanya.
Sebenarnya adalah sifat yang qadim lagi azali thabit berdiri pada
Zat Allah Ta’ala yang menentukan segala perkara yang harus
atau setengah yang harus atas mumkin . Maka Allah Ta’ala
yang selayaknya menghendaki tiap-tiap sesuatu apa yang
diperbuatnya.
Umat Islam beriktiqad akan segala hal yang telah berlaku
dan yang akan berlaku adalah dengan mendapat ketentuan daripada
Allah Ta’ala tentang rezeki , umur , baik , jahat
, kaya , miskin dan sebagainya serta wajib pula
beriktiqad manusia ada mempunyai nasib ( bahagian
) di dalam dunia ini sebagaimana firman Allah
s.w.t. yang bermaksud :
” Janganlah kamu lupakan nasib ( bahagian ) kamu
di dalam dunia ” .
( Surah Al – Qasash : Ayat 77 )
Kesimpulannya ialah umat Islam mestilah bersungguh-sungguh
untuk kemajuan di dunia dan akhirat di mana menjunjung titah
perintah Allah Ta’aladan menjauhi akan segala larangan dan
tegahannyadan bermohon dan berserah kepada Allah s.w.t.
|
9. Al – Ilmu :
Ertinya : Mengetahui Allah Ta’ala . |
Maksudnya nyata dan terang meliputi tiap-tiap sesuatu sama ada yang
Maujud (ada) atau yang Ma’adum ( tiada ).
Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada ( thabit ) qadim lagi azali
berdiri pada zat Allah Ta’ala.
Allah Ta’ala Maha Mengetahui akan segala sesuatu sama ada perkara
Itu tersembunyi atau rahsia dan juga yang terang dan nyata.
Maka Ilmu Allah Ta’ala Maha Luas meliputi tiap-tiap sesuatu di
Alam yang fana’ ini.
|
10. Al – Hayat .
Ertinya : Hidup Allah Ta’ala.
|
Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap qadim lagi azali berdiri pada zat
Allah Ta’ala .
Segala sifat yang ada berdiri pada zat daripada sifat Idrak ( pendapat )
Iaitu : sifat qudrat , iradat , Ilmu , Sama’ Bashar dan Kalam.
|
11. Al – Samu’ : Ertinya : Mendengar Allah Ta’ala. |
Hakikatnya ialah sifat yang tetap ada yang qadim lagi azali berdiri pada
Zat Allah Ta’ala. Iaitu dengan terang dan nyata pada
tiap-tiap yang maujud sama ada yang maujud itu qadim seperti
ia mendengar kalamnya atau yang ada itu harus sama ada
atau telah ada atau yang akan diadakan. Tiada
terhijab ( terdinding ) seperti dengan sebab jauh
, bising , bersuara , tidak bersuara dan
sebagainya. Allah Ta’ala Maha Mendengar akan
segala yang terang dan yang tersembunyi. Sebagaimana firman
Allah Ta’ala yang bermaksud :
” Dan ingatlah Allah sentiasa Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui “.
( Surah An-Nisa’a – Ayat 148 )
|
12. Al – Bashar : Ertinya : Melihat Allah Ta’ala . |
Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada yang qadim lagi azali berdiri
pada zat Allah Ta’ala. Allah Ta’ala wajib bersifat Maha
Melihat sama ada yang dapat dilihat oleh manusia atau tidak
, jauh atau dekat , terang atau gelap , zahir atau
tersembunyi dan sebagainya. Firman Allah Ta’ala
yang bermaksud :
” Dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan “.
( Surah Ali Imran – Ayat 163 )
|
13 . Al – Kalam : Ertinya : Berkata-kata Allah Ta’ala. |
Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada , yang qadim lagi azali ,
berdiri pada zat Allah Ta’ala. Menunjukkan apa yang diketahui
oleh ilmu daripada yang wajib, maka ia menunjukkan atas
yang wajib sebagaimana firman Allah Ta’ala yang
bermaksud :
” Aku Allah , tiada tuhan melainkan Aku ………”.
( Surah Taha – Ayat 14 )
Dan daripada yang mustahil sebagaimana firman Allah Ta’ala yang
bermaksud :
” ……..( kata orang Nasrani ) bahawasanya Allah Ta’ala
yang ketiga daripada tiga……….”.
( Surah Al-Mai’dah – Ayat 73 )
Dan daripada yang harus sebagaimana firman Allah Ta’ala yang
bermaksud :
” Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang
kamu perbuat itu”.
( Surah Ash. Shaffaat – Ayat 96 )
Kalam Allah Ta’ala itu satu sifat jua tiada berbilang.
Tetapi ia berbagai-bagai jika dipandang dari perkara yang dikatakan
iaitu :
1) Menunjuk kepada ‘amar ( perintah ) seperti tuntutan mendiri-
solat dan lain-lain kefardhuan.
2) Menunjuk kepada nahyu ( tegahan ) seperti tegahan mencuri dan lain-lain larangan.
3) Menunjuk kepada khabar ( berita ) seperti kisah-kisah Firaun
dan lain-lain.
4) Menunjuk kepada wa’ad ( janji baik ) seperti orang yan taat
dan beramal soleh akan dapat balasan syurga dan lain-lain.
5) Menunjuk kepada wa’ud ( janji balasan seksa ) seperti orang
yang menderhaka kepada ibubapa akan dibalas dengan azab
seksa yang amat berat.
|
14. Kaunuhu Qadiran :
Ertinya : Keadaan Allah Ta’ala Yang Berkuasa Mengadakan Dan Mentiadakan. |
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta’ala ,
tiada ia maujud dan tiada ia ma’adum , iaitu lain daripada
sifat Qudrat.
|
15.Kaunuhu Muridan :
Ertinya : Keadaan Allah Ta’ala Yang Menghendaki dan menentukan tiap-tiap sesuatu. |
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah Ta’ala ,
tiada ia maujud dan tiada ia ma’adum , iaitu lain daripada
sifat Iradat.
|
16.Kaunuhu ‘Aliman : Ertinya : Keadaan Allah Ta’ala Yang Mengetahui akan
Tiap-tiap sesuatu. |
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat
Allah Ta’ala , tiada ia maujud dan tiada ia
ma’adum , iaitu lain daripada sifat Al-Ilmu.
|
17.Kaunuhu Haiyan : Ertinya : Keadaan Allah Ta’ala Yang Hidup.
|
Hakikatnya
iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah
Ta’ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma’adum ,
iaitu lain daripada sifat Hayat.
|
18.Kaunuhu
Sami’an : Ertinya : Keadaan Allah Ta’ala Yang
Mendengar akan tiap-tiap yang Maujud. |
Hakikatnya
iaitu sifat yang berdiri dengan zat Allah
Ta’ala, tiada ia maujud dan tiada ia ma’adum,
iaitu lain daripada sifat Sama’.
|
19.Kaunuhu
Bashiran : Ertinya : Keadaan Allah Ta’ala Yang
Melihat akan tiap-tiap yang Maujudat ( Benda yang ada
). |
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat
Allah Ta’ala, tiada ia maujud dan tiada ia
ma’adum , iaitu lain daripada sifat Bashar.
|
20.Kaunuhu Mutakalliman : Ertinya : Keadaan Allah Ta’ala Yang Berkata-kata.
|
Hakikatnya iaitu sifat yang berdiri dengan zat
Allah Ta’ala, tiada ia maujud dan tiada ia
ma’adum , iaitu lain daripada sifat Qudrat.
|
Bab 7 : Sifat Mustahil Bagi Allah s.w.t
Wajib
atas tiap-tiap mukallaf mengetahui sifat-sifat yang
mustahil bagi Allah yang menjadi lawan daripada dua
puluh sifat yang wajib baginya. Maka dengan sebab
itulah di nyatakan di sini sifat-sifat yang mustahil
satu-persatu :
1. ‘Adam beerti “tiada”
2. Huduth beerti “baharu”
3. Fana’ beerti “binasa”
4. Mumathalatuhu Lilhawadith beerti “menyerupai makhluk”
5. Qiyamuhu Bighayrih beerti “berdiri dengan yang lain”
6. Ta’addud beerti “berbilang-bilang”
7. ‘Ajz beerti “lemah”
8. Karahah beerti “terpaksa”
9. Jahl beerti “jahil/bodoh”
10. Mawt beerti “mati”
11. Samam beerti “tuli”
12. ‘Umy beerti “buta”
13. Bukm beerti “bisu”
14. Kaunuhu ‘Ajizan beerti “keadaannya yang lemah”
15. Kaunuhu Karihan beerti “keadaannya yang terpaksa”
16. Kaunuhu Jahilan beerti “keadaannya yang jahil/bodoh”
17. Kaunuhu Mayyitan beerti “keadaannya yang mati”
18. Kaunuhu Asam beerti “keadaannya yang tuli”
19. Kaunuhu A’ma beerti “keadaannya yang buta”
20. Kaunuhu Abkam beerti “keadaannya yang bisu”
Bab 8: Sifat Harus Bagi Allah s.w.t
Adalah
sifat yang harus (bhs. Indonesia = boleh) pada hak
Allah Ta’ala hanya satu sahaja iaitu Harus bagi Allah
mengadakan sesuatu atau tidak mengadakan sesuatu atau
di sebut sebagai mumkin. Mumkin ialah sesuatu yang harus ada dan tiada.
Sifat harus atau sifat jaiz juga dimiliki oleh Allah. Harus bagi
Allah memperbuatkan sesuatu yang harus ada atau tiada atau
meninggalkannya. Contohnya, harus bagi Allah menciptakan langit, bumi, matahari
dan yang lain dan harus juga bagi Allah untuk tidak menciptakannya.
Tidak wajib bagi Allah membuat sesuatu seperti menghidupkan atau
mematikan bahkan itu harus pada hak Allah.
Rujukan : ( Kitab Risalah Tauhid – Abdul Ghani Yahya )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan